LONDON: Pertembungan di laman sendiri menentang Bournemouth awal pagi esok sepatutnya menjadi peluang terbaik buat Chelsea untuk menyambung kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah kendalian Graham Potter penuh bergaya tetapi aksi di Stamford Bridge bukan satu tugas mudah buat tuan rumah.
Tekanan ke atas Potter makin meningkat selepas prestasi terumbang-ambing Chelsea dalam EPL.
Prestasi Chelsea sebelum rehat Piala Dunia amat mengecewakan, kalah tiga aksi terakhir liga menentang Newcastle, Arsenal dan bekas kelab Potter, Brighton dan kemudian tewas 2-0 di Manchester City dalam Piala Liga Inggeris.
Sebelum kekalahan hatrik dalam liga itu, The Blues seri di gelanggang lawan dengan Brentford dan di laman sendiri berdepan Manchester United jadi rentetan tanpa menang mereka di liga utama kini memasuki lima perlawanan dan hanya menjaringkan satu gol menerusi permainan terbuka dalam enam aksi terakhir domestik.
Masa depan Potter, yang hanya dilantik selepas Thomas Tuchel dipecat pada awal September lalu, kini menjadi persoalan kerana satu lagi kekalahan, dengan Chelsea kini di tangga kesembilan, mungkin menyaksikannya menerima nasib sama seperti jurulatih dari Jerman itu.
Empat keputusan pertama Bournemouth sekembalinya mereka ke EPL termasuk kalah di tangan juara City, Arsenal dan Liverpool dengan jaringan agregat 16-0 tetapi mereka tidak boleh mengharapkan jaringan besar berdepan Chelsea di Stamford Bridge.
Pengurus yang membantu kejayaan mereka naik liga, Scott Parker dipecat selepas kalah teruk 9-0 di Anfield pada Ogos lalu namun sejak itu, The Cherries berjaya meraih keputusan bermakna di bawah penggantinya Gary O’Neil.
Bournemouth dikalahkan dengan perbezaan lebih satu gol hanya sekali dalam 13 perlawanan bagi semua pertandingan di bawah O’Neil – kekalahan 2-0 di West Ham, itupun gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-92.
Sejak itu, mereka mensia-siakan pendahuluan dua gol sebelum tewas 3-2 kepada Tottenham dan 4-3 di Leeds, sebelum menumpaskan Everton 4-1 pada Piala Liga dan 3-0 dalam EPL, serta tewas 0-1 di Newcastle pada aksi pusingan 16 terakhir Piala Liga, Selasa lalu.
Statistik itu membuktikan Bournemouth mampu meningkat di bawah kendalian O’Neil dengan ancaman gol menerusi Kieffer Moore, Dominic Solanke, Philip Billing dan Marcus Tavernier, ketika Chelsea dilihat kurang bersedia untuk mendedahkan kelemahan benteng pertahanan lawan.
Skuad Bournemouth dilanda jangkitan virus sebelum kunjungan Piala Liga ke Newcastle, yang memerlukan gol sendiri Adam Smith pada minit ke-68 untuk memastikan kemaraan tetapi Chelsea juga berdepan beberapa masalah.
Pemain Croatia, Mateo Kovacic dan Hakim Ziyech dari Maghribi bertembung sesama sendiri pada aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia Qatar dan tidak mungkin diturunkan menentang Bournemouth manakala beberapa pemain Chelsea yang mewakili Senegal, Sepanyol, Jerman dan England turut pulang penuh kekecewaan.
Wesley Fofana dan Armando Broja cedera ketika rehat Piala Dunia – penyerang Broja terpaksa diketepikan hingga hujung musim – dan sukar untuk melihat unit serangan Potter tiba-tiba mampu mengembalikan keberkesanan mereka sebelum aksi liga tertangguh seketika.
Source: bharian.com.my